Modal Insan dalam Pembentukan Belia Minda Kelas Pertama..!!!

Menjelang tahun 2007 ini, kita sebagai elemen masyarakat pembangun modal insan berazam penuh bagi merealisasikan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Dengan pelbagai teras utama yang dijadikan sebagai garis panduan, sekali lagi kita membayangkan betapa dengan implikasi modal insan ini akan menjanjikan sebuah tamadun yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Untuk mempersiapkan diri mengambil bahagian dalam masyarakat dan misi negara, pembangunan modal insan bermutu tinggi menjadi salah satu keperluan yang dahulunya mungkin hanya dianggap sebagai suatu kemewahan. Maka, pembangunan modal insan ini pula memerlukan kepada Minda Kelas Pertama supaya elemen mikro dalam masyarakat ini memberi implikasi makro terhadap pembangunan negara. Pembentukan Minda Kelas Pertama menjadi agenda penting negara selepas mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi menjadikannya teras kedua Misi Nasional yang terkandung dalam RMK-9. Minda Kelas Pertama ialah output kepada pembangunan modal insan dan tidak terbentuk dengan sendiri, sebaliknya perlu ada usaha memupuk Minda Kelas Pertama secara sistematik dan terarah.

Justeru, langkah kerajaan di bawah pimpinan mantan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk melahirkan belia Minda Kelas Pertama adalah bertepatan sekali dengan misi dan visi negara untuk mencapai sasaran Negara Dunia Pertama. Dalam konteks dunia global, modal insan bermutu tinggi satu keperluan, bukan lagi kemewahan. Demikian antara ungkapan penting Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Rancangan RMK-9. Perdana Menteri berpendapat, pembangunan modal insan dan anjakan minda dan pemikiran warga satu cabaran terbesar. Dengan kata lain, pembangunan modal insan dalam RMK-9 turut memberi tumpuan kepada aspek keinsanan yang terbina menerusi falsafah hidup, agama dan moral. Modal insan diperlukan mempunyai ciri-ciri yang memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ciri-ciri itu terangkum dalam gagasan minda kelas pertama.

Pembangunan modal insan bermindakan kelas pertama perlu diberi keutamaan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju beridentitikan diri sendiri. Dalam konteks dunia global hari ini, modal insan yang benar-benar berkualiti adalah satu kemestian, bukan lagi satu kemewahan. Sekiranya kita ingin melangkah ke era ekonomi berpaksikan pengetahuan serta ingin menjadi bukan sahaja sekadar mana-mana negara maju tetapi negara maju yang mempunyai identitinya sendiri serta mampu terus kekal pada tahap itu, pembangunan modal insan berminda kelas pertama harus diutamakan.

Berikutan itu, tema Hari Pekerja ‘Pekerja Cemerlang Negara Terbilang’ sekali lagi dipilih pada tahun ini bagi menggambarkan hasrat kerajaan itu. Sememangnya modal insan negara perlu terus digilap kerana ia merupakan elemen terpenting dalam memastikan negara terus berdaya saing dan berdaya tahan, lebih-lebih lagi dalam zaman ekonomi sejagat yang amat mencabar iaitu ekonomi yang berlandaskan pengetahuan serta bertunjangkan sains dan teknologi. Kerajaan menyedari golongan pekerja adalah aset terpenting sesebuah negara hingga mampu menentukan turun naik dan jatuh bangunnya sesebuah negara. Atas hakikat itulah, dalam kita mengejar pembangunan dan kemajuan demi mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020, kerajaan memberi penekanan yang amat besar kepada usaha membina serta memanfaatkan sepenuhnya potensi modal insan.

Kerajaan memerlukan sokongan dan kerjasama daripada rakyat untuk merebut peluang dan memainkan peranan dalam menjayakan pelbagai strategi dan perancangan yang dilakukan untuk membangunkan modal insan negara. Rakyat sebagai modal insan pula perlu terus memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membudayakan semangat pendidikan sepanjang hayat. Ini penting agar modal insan negara sentiasa menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran terkini dan ditunjang pula dengan nilai-nilai murni agar menjadi tenaga kerja yang dinamik dan menghayati budaya kerja berprestasi tinggi. Pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti yang berterusan juga akan memastikan modal insan negara kekal relevan dengan kehendak industri dan pasaran semasa serta mampu berdepan dengan cabaran dan suasana persaingan antarabangsa yang kian meningkat.

Kerajaan menyanjung tinggi hasil sokongan dan kerjasama padu yang diberikan oleh majikan dan pekerja sambil berharap ia terus terjalin bagi mengekalkan perhubungan yang harmoni itu. Perkara yang paling penting dalam menentukan kejayaan dalam mencapai apa yang kita hasratkan adalah persefahaman yang diterjemahkan kepada kerjasama dan usaha gigih antara kita bersama. Untuk mempersiapkan diri kita di dalam organisasi dan misi negara, pembangunan modal insan yang bermutu tinggi menjadi salah satu keperluan. Maka, pembangunan modal insan perlu kepada Minda Kelas Pertama.

Minda Kelas Pertama secara mudah difahami sebagai ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ciri-ciri tersebut merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik. Inilah yang boleh dilabelkan sebagai agenda pembangunan tamadun dengan acuan imej tersendiri. Kita harus jauhkan diri dari sikap minda kelas ketiga iaitu malas bekerja, suka berlengah, membuang masa, tiada berhemat, kerja sambil lewa, tidak bersemangat, leka dan sebagainya. Minda Kelas Pertama difahami sebagai ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ciri-ciri tersebut merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik. Inilah yang boleh dilabelkan sebagai agenda pembangunan tamadun dengan acuan imej tersendiri.

Minda Kelas Pertama adalah agenda jangka masa panjang yang memerlukan segenap usaha serta komitmen daripada setiap peringkat masyarakat. Setiap etnik, kelas sosial, komuniti dan institusi perlu mengambil bahagian dalam merealisasikan misi ini. Ia perlu dimulakan dengan azam yang kuat bagi memulakan era pembudayaan agenda ini. Tiga strategi utama untuk melahirkan modal insan kelas pertama adalah melalui peningkatan terhadap keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan, pengukuhan keupayaan sains, penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi, pembentukan masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral. Melihat strategi penguasaan ilmu pengetahuan, belia di peringkat masyarakat umum perlu kepada kesediaan diri dengan memiliki kemantapan informasi serta kemahiran.

Budaya membaca, sumbangan ilmu, teknologi maklumat dan prointelektual adalah budaya yang sangat menyumbang ke arah strategi ini. Seterusnya dengan penguasaan ilmu ini, kita akan semakin terdedah kepada bidang sains, R&D dan inovasi yang juga sebagai salah satu output penghasilan Minda Kelas Pertama. Keperluan dan cabaran global hari ini adalah berpaksikan kepada aset modal insan yang berpengetahuan serta berinovasi tinggi. Dunia kini tidak mengenal siapa yang kaya dengan sumber fizikal, kedudukan strategik dan usia tamadun semata-mata. Tetapi adalah memandang kepada kualiti modal insannya yang menjadi peneraju kekayaan dan potensi negara.


Dalam perjalanan mencapai kemajuan serta membina tamadun, belia semua harus mempercayai tentang bayaran erti kemajuan. Inilah yang ditekankan dalam misi nasional dengan mengambil kira aspek kekayaan moral agar masyarakat membangunkan tamadun melalui Minda Kelas Pertama. Belia tidak harus hanya memandang pembangunan fizikal semata-mata sebagai ukuran kemajuan sesebuah masyarakat. Acuannya adalah pembangunan fizikal yang disertai dengan kekayaan mentaliti masyarakat. Apa gunanya pembangunan jika dalam masa yang sama masih banyak lagi timbul elemen-elemen yang boleh menjejaskan pembangunan itu semula.

Kekayaan moral bukanlah suatu skop kelebihan yang kecil dalam pembangunan insan. Ianya meliputi aspek akhlak mulia, nilai murni, budi bahasa, integriti, beretika dan mengikut norma-norma sebagai masyarakat timur. Norma adalah peraturan masyarakat mengenai tingkah laku yang betul dan salah. Budaya pula adalah merangkumi cara hidup sesebuah masyarakat secara asli atau tersendiri yang bukan tiruan. Budaya seterusnya akan membentuk tamadun. Sesebuah masyarakat boleh dilabelkan sebagai berbudaya dan bertamadun dengan menjadikan cara hidup timur sebagai imej tersendiri. Imej masyarakat kita adalah kaya dengan norma-norma istimewa yang kebanyakannya selari dengan hukum agama. Norma dan budaya ini perlulah dipertahankan untuk membentuk Minda Kelas Pertama.

Belia perlu menanamkan mentaliti yang sentiasa berlegar dalam pemikiran serta tindakan mereka bahawa Minda Kelas Pertama perlu wujud dalam diri sendiri. Seterusnya Minda Kelas Pertama adalah penyumbang ke arah mewujudkan jaringan terhadap mentaliti di setiap peringkat serta pihak masyarakat yang lain. Sehinggalah jaringan ini membentuk budaya masyarakat membangun dari dua aspek pembangunan fizikal dan juga mental. Pihak kerajaan dan juga pihak swasta menyambut baik agenda Minda Kelas Pertama ini. Hanya ia perlu dengan sokongan serta azam kita semua agar usaha murni ini dimulakan sebagai budaya pembangunan masyarakat dan peneraju ke arah pembinaan tamadun manusia yang benar-benar berjaya.

Negara harus membentuk asas yang kukuh bagi memupuk Minda Kelas Pertama. Atas semangat itulah maka baru-baru ini kerajaan meminta rakyat membudayakan 3K sebagai sebahagian asas pemupukan Minda Kelas Pertama. 3K yang dimaksudkan ialah kritikal, konstruktif dan kreatif. Kritikal bukan bermakna pandai mencari salah orang lain. Perbuatan sedemikian akan hanya meruntuhkan masyarakat dan negara. Masa yang cukup berharga akan terbuang begitu saja jika kita saling salah menyalahkan di antara satu sama lain. Kritikal dalam konteks 3K bermaksud kita harus mencari ruang penambahbaikkan. Bagaimana baik sekali pun apa yang dilakukan, kita tidak boleh berpuas hati. Kita perlu membentuk pemikiran kritikal.

Untuk membentuk minda kritikal, belia mesti banyak bertanya iaitu bertanya diri sendiri dan orang lain. Soalan yang betul akan memberikan jawapan yang betul. Kita mesti bertanya ‘mengapa’ kita melakukan sesuatu bagi mengetahui adakah ‘apa’ yang dilakukan itu betul. Orang yang berfikiran kritikal tidak menerima sesuatu secara sewenang-wenangnya tanpa bertanya. Bagi memupuk pemikiran kritikal, masyarakat mesti bersikap terbuka dan telus. Kritikal saja tidak mencukupi. Sewajarnya kritikal itu disertai dengan konstruktif. Kita tidak mahu menyuburkan budaya menuding jari mencari kesalahan orang lain. Memang mudah mencari kesalahan orang lain. Yang susah ialah untuk membetulkan kesalahan. Kita harus berpegang dengan falsafah bahawa mencari jalan membetulkan sesuatu kesalahan itu lebih penting daripada mencari siapa yang membuat kesalahan. Kita tidak perlu menjadi hebat dengan merendah-rendahkan orang lain. Biarlah kita menjadi hebat kerana kita bukan saja mampu kritikal tetapi juga konstruktif.

Untuk konstruktif, kita perlu kreatif. Kita mesti kreatif dalam memberi idea membina, kreatif dalam menyelesaikan masalah dan juga kreatif dalam melaksanakan tugasan yang diberikan. Kreatif menuntut kita berfikir di luar kotak pemikiran biasa. Kita tidak harus terperangkap dalam pemikiran dan kaedah lama bagi menyelesaikan masalah baru. Seseorang boleh menjadi kreatif sekiranya kita menyediakan suasana kondusif untuk itu. Antara yang boleh dilakukan ialah memberikan ruang untuk perbezaan pendapat. Sekiranya seseorang dihukum setiap kali idea barunya gagal, dia tidak akan menjadi kreatif. Dalam sesebuah masyarakat kreatif, hasil adalah penting. Namun, yang lebih penting ialah kesediaan seseorang mencuba idea baru. Dengan idea yang baru inilah akan dikembangkan dan ditambahbaikkan lagi bagi mencapai sesuatu yang luar biasa. Inilah sebagai bukti agar martabat negara tidak hanya dipandang sebelah mata sahaja oleh dunia luar.

Kerajaan memerlukan sokongan dan kerjasama daripada rakyat untuk merebut peluang dan memainkan peranan dalam menjayakan pelbagai strategi dan perancangan yang dilakukan untuk membangunkan modal insan negara. Rakyat khususnya golongan belia sebagai modal insan pula perlu terus memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membudayakan semangat pendidikan sepanjang hayat. Ini penting agar modal insan negara sentiasa menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran terkini dan ditunjang pula dengan nilai-nilai murni agar menjadi tenaga kerja yang dinamik dan menghayati budaya kerja berprestasi tinggi. Maka dengan kesedaran itulah pelbagai dasar kerajaan telah dilancarkan bagi memastikan hasrat yang dijunjung ini dapat dilaksanakan. Justeru, di zaman era kecemerlangan yang dibawa oleh Perdana Menteri ini belia perlu merebut setiap peluang yang disediakan oleh bagi memastikan impian yang dibina bukanlah sekadar omong kosong sahaja. Belialah yang bakal menggalas segala hasrat kerajaan ini untuk meletakkan nama Malaysia gah sebaris dengan negara membangun yang lain. Ini bertepatan dengan kata-kata yang pernah diucapkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir bin Mohamed:

“... sekiranya terdapat hanya sepuluh negara maju di dunia ini pastikan Malaysia salah satu daripadanya. Sekiranya hanya terdapat lima negara maju di dunia ini, pastikan Malaysia salah satu daripadanya. Maka, seandainya ditakdirkan hanya terdapat satu sahaja negara maju di dunia ini, pastikan ianya milik Malaysia...”

0 comments:

Post a Comment