Politik Perkongsian Kuasa di Malaysia selepas PRU 12

Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan. Malaysia diketuai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang dipilih daripada sembilan sultan negeri Melayu untuk berkhidmat selama lima tahun sebagai Ketua Negara dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.Sistem ini adalah berdasarkan sistem Westminster kerana Malaysia merupakan bekas tanah jajahan British. Kuasa eksekutif ditetapkan oleh kabinet yang dipimpin oleh Perdana Menteri. Berdasarkan perlembagaan Malaysia, Perdana Menteri mestilah seorang anggota Dewan Rakyat, yang pada pendapat Yang di-Pertuan Agong, memimpin kumpulan majoriti dalam parlimen. Manakala kabinet merupakan ahli parlimen yang dipilih daripada Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Malaysia mengamal sistem parlimen dwidewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dewan Negara mempunyai 70 orang yang terpilih selama 3 tahun. Pemilihan ahlinya boleh dibahagikan kepada dua iaitu 26 ahli dipilih oleh Dewan Undangan Negeri sebagai mewakili 13 negeri manakala 44 ahli lagi dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu ahli masing-masing dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya. Dewan Rakyat pula mempunyai seramai 222 ahli, dan setiap ahli mewakili satu kawasan pilihan raya. Ahli-ahli dipilih atas dasar sokongan ramai melalui pilihan raya. Setiap ahli Dewan Rakyat memegang jawatan selama 5 tahun, dan selepas itu pilihan raya yang baru akan diadakan.

Kuasa perundangan dibahagi antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Ini ditentukan oleh parlimen. Undang-undang tertinggi ialah Perlembagaan Malaysia dan ini memerlukan majoriti dua pertiga untuk diubah. Walau bagaimanapun, peratusan ahli pihak pemerintah sentiasa melebihi nisbah ini. Undang-undang kedua ialah undang-undang syariah yang menumpukan pada orang Islam di Malaysia. Sultan merupakan ketua agama Islam dan kuasa ini tertakluk kepada baginda kerajaan negeri. tidak memeranjatkan, undang-undang syariah ini agak berbeza mengikut negeri.

Sistem legaliti Malaysia berasaskan undang-undang British. Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada undang-undang dan konstitusi telah diambil dari undang-undang India. Mahkamah Persekutuan mengkaji kembali keputusan yang rujuk daripada Mahkamah Rayuan; ia mempunyai jurisdiksi asal dalam hal-hal konstitusi dan dalam perselisihan di antara negeri-negeri atau di antara kerajaan persekutuan dan sesuatu negeri. Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak setiap satunya mempunyah mahkamah tinggi. Kerajaan Persekutuan mempunyai autoriti terhadap hal-hal luar negara, pertahanan, keselamatan dalam negeri, warganegara persekutuan, kewangan, perdagangan, industri, komunikasi, penngangkutan, dan hal-hal lain. Pilihan Raya Umum Malaysia tahun 2008 merupakan pilihan raya umum yang ke-12 diadakan pada hari Sabtu, 8 Mac 2008 setelah Parlimen dibubarkan pada 13 Februari 2008 diikuti dengan hari penamaan calon pada 24 Februari 2008.
Hasilnya, Barisan Nasional masih menang di peringkat Parlimen tetapi di peringkat DUN, Barisan Nasional tewas di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor. Banyak calon UMNO tewas kepada PAS. Sementara calon Gerakan, MIC dan PPP kalah teruk kepada DAP, PKR dan PAS. Gelombang baru ini merupakan permulaan kepada rentetan fenomena politik di Asia seperti di Filipina, Thailand dan Indonesia. Mantan Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi telah mendapat ilham untuk membubarkan parlimen Malaysia pada 13 Februari 2008 setelah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin memperkenankannya. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari penamaan calon pada 24 Februari 2008 di bangunan majlis daerah masing-masing.

Konsep perkongsian kuasa di Malaysia telah didirikan sekian lama atas semangat untuk memacu kejayaan negara secara kolektif tanpa mengira kaum. Tidak dapat dinafikan bahawa antara perkara pokok yang mempengaruhi kekuatan konsep ini adalah prinsip yang dikenali sebagai kontrak sosial, iaitu suatu perjanjian yang telah dicapai sebelum merdeka. Maka prinsip kontrak sosial yang telah dimeterai oleh tokoh-tokoh terdahulu yang menjadi landasan kepada pembinaan konsep perkongsian kuasa ini seharusnya dihormati oleh semua pihak.

Barisan Nasional (BN) pada tahun ini meraikan sambutan 57 tahun perkongsian kuasa politik. Daripada kerjasama antara Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan kemudian disertai oleh Kongres India Malaysia (MIC) dalam Parti Perikatan, akhirnya ahli gabungannya bertambah hingga ke Sabah dan Sarawak lalu melahirkan Barisan Nasional pada 1974. Kini anggota BN terdiri daripada parti politik di Semenanjung iaitu UMNO, MCA, MIC, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Progresif Penduduk (PPP). Manakala di Sarawak diwakili oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan di Sabah pula ialah Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Maju Sabah (Sapp), Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP), United Pasok Momogun Kadazandusun Organisation (Upko) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Sungguhpun BN sudah bertahan 57 tahun, tetapi dalam tempoh lima dekad itu pelbagai cabaran diharungi dalam berkongsi kuasa. Ada parti komponen yang dahulu bersama BN, kini terus keluar menjadi pembangkang utama. Ada yang bersengketa di peringkat negeri tetapi tetap mahu bersatu dengan BN di peringkat pusat. Malah ada yang menyedari kesilapan menikam dari belakang untuk keluar mengejut dari BN menjelang pilihan raya, akhirnya kembali ke pangkal jalan. Semua dugaan dihadapi bersama oleh pucuk pimpinan BN.

Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin menjangkakan kedudukan perkongsian kuasa BN akan terjamin jika formula politik Malaysia kekal seperti sekarang. Hujah beliau berdasarkan sejarah sistem politik Malaysia sejak Parti Perikatan adalah hasil daripada Majlis Perhubungan Masyarakat (CLC) yang ditubuhkan pada Februari 1949 apabila kerajaan British menjemput ketua-ketua kaum Melayu, Cina dan India di Tanah Melayu untuk berunding mengenai masa depan negara sebelum merdeka. Di bawah kepimpinan Allahyarham Tunku Abdul Rahman yang mewakili UMNO dan Tun Tan Cheng Lock dari parti MCA, elit politik dan intelektual Melayu-Cina bergabung untuk bertanding dalam pilihan raya Majlis Bandaran pada tahun 1952. Kewujudan persahabatan politik antara kaum Melayu dan Cina mendorong MIC untuk menyertai Perikatan pada 1953 dan membantu Perikatan memenangi 54 daripada 55 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya Perbandaran 1955.

Melalui pertemuan itu ketua-ketua parti yang berteraskan kaum itu akhirnya beransur-ansur melahirkan Perikatan. Melalui Perikatan, komponen parti itu bertambah besar maka lahirlah Barisan Nasional. Namun kita perlu ingat bahawa CLC itu pada awalnya turut disertai oleh Parti Social Front dan Parti Buruh. Ini bermakna modul perkongsian kuasa ini memang diamalkan oleh parti kerajaan ataupun parti pembangkang. Ini kerana formula bagi politik Malaysia sejak dahulu ialah bersatu dalam satu barisan. Ini merupakan formula politik di Malaysia. Dan kini modul perkongsian kuasa dalam BN cuba diikuti oleh pakatan parti pembangkang pada pilihan raya lalu di antara PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat yang menamakan gabungan mereka sebagai Pakatan Rakyat.

Berdasarkan sistem politik begini, beliau menegaskan, PAS tidak boleh memerintah negara ini bersendirian, ia mesti duduk dalam satu barisan. Sebab itu, melihat situasi politik negara yang memerlukan sesebuah parti politik berada dalam satu barisan maka dapat dirumuskan suasana ini menjamin masa depan BN untuk masa akan datang. Namun begitu, selepas lima dekad berkongsi kuasa, generasi terdahulu kebanyakannya telah mengundurkan diri daripada memimpin parti masing-masing. Pemimpin parti utama BN, UMNO dan MCA bertukar teraju kepimpinan kecuali MIC masih dipimpin oleh Datuk Seri S. Samy Vellu. Pucuk pimpinan UMNO diambil alih oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, manakala MCA sudah bertukar tampuk kuasa dari Datuk Seri Ong Tee Kiat kepada Datuk Seri Chua Soi Lek yang banyak menimbulkan kontrovesi.

Sebenarnya masyarakat negara ini tidak boleh menafikan kejayaan yang telah dibawa oleh kerajaan BN lima dekad lalu. Dasar-dasar BN yang kukuh dan kepimpinannya yang cemerlang berjaya membawa rakyat Malaysia menikmati hidup aman damai dan harmoni walaupun dalam masyarakat berbilang kaum, berbilang bahasa dan berbilang agama. Dasar bertolak ansur kerajaan BN yang diwakili oleh parti berteraskan pelbagai kaum dan kaum tertentu perlu dipelihara dan dipertahankan.

Dasar perkongsian kuasa dan keputusan sebulat suara yang dipegang oleh BN dalam menangani sesuatu masalah negara atau polemik dalaman anggota komponen ternyata amat baik bagi negara ini, selain BN bernasib baik mempunyai parti-parti politik yang tidak ekstrem. Anggota komponen BN harus sedar dan menerima hakikat bahawa negara ini adalah sebuah negara berbilang kaum dan pelbagai agama, oleh itu mereka patut mengamalkan sikap toleransi antara kaum, budaya, agama dan bahasa kaum-kaum lain.

Istimewanya dasar perkongsian kuasa BN ialah menolak pandangan radikal supaya dasar asimilasi dilaksanakan demi perpaduan kaum. Justeru, Malaysia terus melaksanakan pendidikan serta penggunaan bahasa di sekolah-sekolah mengikut kaum itu sendiri berasaskan Dasar Pendidikan Negara. Tiada negara di dunia yang mengamalkan sistem pendidikan seperti yang dijalankan di negara kita. Apa pun, cabaran negara untuk membawa kemakmuran kepada rakyat adalah tugas yang masih belum selesai. Berdasarkan 11 pilihan raya lalu, kita akui majoriti rakyat terus memberi sokongan dan meletakkan harapan kepada pemimpin BN walaupun pada pilihan raya terbaru ini BN gagal menguasai 2/3 undi majoriti dalam Parlimen dan kekalahan pada peringkat DUN mengakibatkan BN kehilangan Perak, Kedah dan Selangor. Namun, Perak kembali ditawan oleh BN selepas tiga orang ADUN Pakatan Rakyat bertindak melompat parti menjadi ADUN Bebas dan seterusnya menyatakan sokongan kepada BN. Bagi majoriti rakyat, BN adalah parti dan kerajaan pilihan terbaik buat mereka. BN berjaya mencipta formula politik yang berkesan bagi menyelesaikan pertikaian dan masalah kaum. Formula ini yang cuba ditiru dan menjadi ikutan sesetengah negara di dunia termasuk Barat. Tetapi kita juga harus sedar, cabaran lebih besar sedang menunggu pada gerbang pintu masa depan. Gelombang ujian akan datang dari dalam dan luar negara.

Di antara dilema yang dihadapi negara yang mempunyai komposisi penduduk pelbagai kaum seperti Malaysia ialah untuk memastikan setiap kaum diwakili ataupun terbabit secara langsung dalam proses pentadbiran. Ia berkait rapat dengan persoalan mengenai sejauh mana kerajaan yang dibentuk dapat memenuhi aspirasi setiap kaum yang pelbagai. Ini kerana setiap kaum mempunyai sistem kepercayaan serta kebudayaan mereka sendiri. Oleh itu, kegagalan kerajaan yang dibentuk membuat keputusan yang mampu menyantuni kehendak setiap kaum, dikhuatiri akan mengakibatkan ketidakstabilan terutama sekali di peringkat akar umbi. Keadaan diburukkan lagi seandainya kerajaan yang memerintah, membuat keputusan ataupun dasar berasaskan kepada persepsi ataupun kehendak sesebuah etnik semata-mata.

Pakar sains politik terkemuka, Arend Lijphart, menawarkan penyelesaian kepada persoalan ini. Beliau memperkenalkan konsep Consociational Democracy yang kini diamalkan di Belgium, Belanda serta beberapa negara di Eropah. Dalam konsep ini, setiap etnik mempunyai peluang untuk terlibat secara langsung dalam proses penggubalan dasar serta pentadbiran, melalui pemimpin yang dipilih untuk mewakili sesuatu etnik. Pemimpin yang dipilih akan bekerjasama dengan pemimpin yang mewakili etnik lain. Untuk memudahkan kerjasama ini berlaku, pemimpin itu akan menubuhkan pakatan kerjasama di antara parti politik yang dipimpin mereka. Parti-parti politik ini ditubuhkan untuk menjaga kepentingan etnik yang diwakilinya.

Di Malaysia, konsep ini dipelopori Parti Perikatan. Ia ditubuhkan pada 1955, di mana ia membabitkan Umno, MCA, dan MIC. Ketiga-tiga parti politik dibentuk untuk mewakili kepentingan tiga etnik terbesar iaitu; Melayu, Cina, dan India. Melalui konsep perkongsian kuasa ini, ia memberikan ruang sama rata untuk semua etnik yang ada di negara ini, melalui pemimpin yang dipilih, untuk membabitkan diri secara langsung dalam proses pentadbiran. Kini, kesinambungan konsep perkongsian kuasa yang dirintis melalui Parti Perikatan, diteruskan pula oleh BN, yang turut dinaungi beberapa lagi parti politik termasuk yang mewakili etnik Sabah dan Sarawak.

Dalam barisan Kabinet baru Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, konsep perkongsian kuasa diterapkan dengan bijaksana. Buktinya, barisan Kabinet kali ini terdiri daripada pemimpin Melayu, Cina, India dan beberapa suku kaum di Sabah dan Sarawak. Kemampuan menteri baru belum diuji kerana mereka baru saja dilantik, namun dengan bimbingan Perdana Menteri dan beberapa menteri veteran, sudah pasti mereka dapat menyesuaikan diri dalam keadaan politik semasa dengan menerapkan konsep berkhidmat dengan ikhlas untuk rakyat. Dalam konteks politik Malaysia, proses perkongsian kuasa ini telah berjaya mencipta kestabilan kepada iklim politik di negara ini. Kejayaan ini dibantu oleh dua faktor utama. Faktor pertama membabitkan interaksi di antara pemimpin serta etnik yang diwakilinya.

Untuk menjamin kejayaan perkongsian kuasa ini, barisan pemimpin terbabit dituntut untuk sentiasa berinteraksi serta peka terhadap sebarang pandangan atau isu yang diutarakan oleh etnik yang diwakili di peringkat akar umbi. Segala permasalahan yang diutarakan, kemudian akan diterjemahkan melalui pelaksanaan dasar oleh kerajaan yang memerintah. Pemimpin ini juga perlu memainkan peranan di dalam menerangkan sebarang kekeliruan terhadap sebarang isu yang timbul. Melalui interaksi ini, keharmonian perhubungan di antara etnik dapat dijaga.

Faktor kedua membabitkan interaksi serta permuafakatan yang dicapai di kalangan pemimpin yang dipilih, dalam menyelesaikan pelbagai isu berbangkit. Permuafakatan ini tercapai melalui sikap toleransi serta keprihatinan pemimpin terbabit, terhadap batas-batas sensitiviti yang telah dipersetujui bersama. Malaysia adalah salah satu negara yang berjaya menerapkan sistem perkongsian kuasa ini dengan jayanya. Kejayaan ini dibantu sikap toleransi serta saling hormat menghormati yang diamalkan rakyat negara ini. Dalam hal ini, interaksi pada peringkat akar umbi adalah penyumbang utama kepada kejayaan yang dicapai. Justeru, keharmonian hubungan di antara kaum perlu sentiasa dijaga dan disuburkan, agar setiap lapisan rakyat dapat menjalani kehidupan mereka dengan aman dan damai.

Masalah utama kepada gabungan PAS, KeADILan dan DAP ialah bagaimana membentuk serta menyusun sebuah kerajaan yang boleh memuaskan hati semua pihak. Tidak dinafikan, masing-masing ada agendanya yang tersendiri. Namun asas kepada pembentukan sesebuah kerajaan ialah keadilan, ketelusan, tanggungjawab dan amanah kepada semua rakyat. Dalam merencana agenda masing-masing, semua pihak tidak harus mempertegaskan kepentingan sesuatu bangsa atau memperjuangkan matlamat politik masing-masing tanpa mengambil kira kepentingan majoriti rakyat, khususnya orang-orang Melayu yang beragama Islam. Inilah dasar yang jelas dan harus difahami. Sememangnya diperakui, Pakatan Rakyat memperjuangkan dasar perkongsian yang samarata (equal sharing).

Ia tidak merujuk kepada semuanya harus dibahagi tiga, atas sifat perkongsian tiga parti PAS, KeADILan dan DAP. Di Selangor misalnya dalam penyusunan ahli majlis sama ada Majlis Bandaraya Shah Alam atau Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah, walaupun Exco yang terbabit, Ronnie Liu mewakili DAP, beliau tidak seharusnya dilihat membahagi-bahagikan jawatan dengan melebihkan kaum Cina. Misalnya di Majlis Perbandaran Subang Jaya yang merangkumi kawasan Puchong, Serdang dan Kelana Jaya, daripada 24 orang ahli majlis, hanya 8 orang sahaja yang beragama Islam sedangkan majoriti penduduk orang-orang Melayu yang beragama Islam. Begitu juga di Shah Alam yang merangkumi Parlimen Shah Alam dan Kota Raja. Perlantikan Ahli Majlis harus mewakili peratusan penduduk, bukan dibahagi tiga antara tiga parti atau dilantik daripada NGO yang bukan Melayu.

Ini amalan dasar kesamarataan yang silap dan membangkitkan sensitiviti orang-orang Melayu. Harus diingat rakyat akan membandingkan senarai keanggotaan majlis PBT di antara zaman BN dengan Pakatan Rakyat. Jangan sesekali benarkan rakyat menuding jari kepada DAP di Selangor yang hanya dilihat cenderung untuk melindungi bangsa Cina sahaja. Jangan sesekali dibenarkan nama Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dipalitkan dengan tuduhan orang Melayu yang tidak mempertahankan bangsanya sendiri.

0 comments:

Post a Comment