Relevankah DEB dipraktikkan kembali...????

Sejak akhir-akhir ini Dasar Ekonomi Baru (DEB) sering menjadi peluru bagi pelbagai pihak. Dalam menagih pengaruh atau populariti, DEB sering dijadikan umpan besar. Ia ditafsir sebagai halangan utama pembangunan negara dan wajar dihapuskan bagi memastikan pembangunan yang lebih pantas. Dalam konteks kepelbagaian bangsa, DEB dikatakan tidak adil kerana memberi keutamaan kepada masyarakat bumiputera dengan mengenepikan masyarakat lain. DEB dipersoalkan dalam konteks pengagihan kekayaan dan peluang serta bermacam-macam lagi. Secara pentadbiran, tempoh pelaksanaan DEB iaitu 1970-1990 telah pun tamat. Namun, intipati dasarnya masih kekal segar dalam kesemua dokumen rancangan pembangunan negara. Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000), Dasar Wawasan Negara (2001-2010), Misi Nasional (2006 -2020), Rancangan Pembangunan Lima Tahun Malaysia dan juga Dokumen Pembangunan Sektoral yang lain meletakkan semangat dan harapan DEB sebagai umbi utama strategi pembangunan. Tidak dinafikan setelah hampir 40 tahun dirangka, ramai yang lupa dengan dasar yang begitu penting dan bermakna dalam pembangunan negara kita, bukan sahaja untuk masyarakat bumiputera malah keseluruhan rakyat Malaysia. Penilaian ke atas mengapa semangat dan harapan DEB perlu terus dikekalkan boleh dibuat daripada pelbagai sudut.

Baru-baru ini, Institut Kajian dan Kepimpinan Asia (ASLI) membentangkan hasil kajian yang menurut mereka bumiputera menguasai 45 peratus ekonomi negara ini. Dalam keadaan bumiputera masih lagi tercungap-cungap untuk mencapai sasaran 30 peratus pemilikan hak ekuiti, laporan yang dibentangkan oleh ASLI ini seolah-olah menongkah arus. Bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi menyanggah laporan yang telah dibuat oleh ASLI. Malah asas-asas yang digunakan bagi kajian tersebut adalah tidak betul sama sekali sebagaimana yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) mengikut Unit Perancangan Ekonomi (EPU). Menurut laporan yang dikeluarkan oleh EPU, bumiputera hanya menguasai hanya kira-kira 18.9 peratus sahaja ekonomi Malaysia iaitu masih lagi jauh seperti mana yang telah didakwa oleh ASLI.

Jika ditinjau kepada isu ini bukanlah pemilikan 35 peratus yang harus diberikan penekanan tetapi 65 peratus. Ini kerana sejak dari awal lagi ekonomi di Tanah Melayu dikuasai oleh golongan bumiputera sebelum kedatangan penjajah yang mengamalkan Dasar Pecah dan Perintah yang mengasingkan kaum-kaum. Seharusnya kita haruslah mencapai strategi bagaimana untuk mencapai sasaran pemilikan 65 peratus ekuiti ini bagi menebus kembali maruah agama, bangsa dan negara. Pelaksanaan strategi ini haruslah dibuat segera supaya orang Melayu tidak kembali dilihat sebagai katak di bawah tempurang yang berpuas hati dan duduk selesa dengan pencapaian sedikit yang dimiliki. Sedangkan masih banyak lagi ruang yang perlu dikuasai oleh golongan bumiputera ini. Namun untuk mencapai sasaran ini, hendaklah melalui sedikit pengorbanan dan kesungguhan yang tinggi untuk memulihkan kembali ekonomi yang selama ini dikuasai oleh golongan bukan bumiputera.

Formula mecapai sasaran 65 peratus ialah dengan membina keupayaan dan asas kekuatan kita sendiri tanpa mengaharapkan bantuan daripada orang lain sebagai tempat bergantung. Kita boleh meminta bantuan daripada kerajaan tetapi bukanlah sebagai tongkat untuk berjalan dengan selesa. Sebaliknya bantuan yang diminta itu adalah sebagai satu sokongan asas dan kita sendiri haruslah berusaha untuk mengubah taraf ekonomi kita itu dengan sendiri. Kerajaan pula haruslah membantu golongan bumiputera ini untuk terus berdikari agar organisasi korporat Melayu seperti syarikat-syarikat GLC, syarikat swasta Melayu dan Industri Kecil dan Sederhana Melayu dapat berdiri dengan sendiri seterusnya berkembang. Apabila syarikat kecil terus berkembang dan menjadi syarikat korporat yang bertaraf Multinasional Melayu, inilah yang kita mahu lihat berlaku kepada perkembangan ekonomi golongan bumiputera.

Strategi kedua yang harus dipraktikkan ialah dengan menggunakan kuasa membeli yang ada di tangan kita dengan mengamalkan konsep Melayu Tolong Melayu. Ini adalah satu cara yang paling berkesan melalui konsep ini dengan menggunakan kusas membeli dengan membeli barangan daripada syarikat GLC milik orang Melayu. Dewasa ini, orang Melayu dilihat kurang kesedaran berbanding golongan Cina dan bangsa-bangsa lain yang maju. Mereka ini dilihat lebih cergas, dinamik dan menjaga kepentingan pelanggan mereka dan di dalam hal ini orang Melayu haruslah menukar sikap ini. Kalau golongan Cina boleh melakukan seperti ini, orang Melayu juga boleh melakukan seperti yang dilakukan oleh mereka. Jika kita lihat golongan Cina yang memiliki syarikat korporat melayan pelanggan mereka dengan baik dan seterusnya membina satu rangkaian perhubungan yang kukuh dalam aktiviti perniagaan. Seharusnya perkara ini berlaku terhadap golongan bumiputera khususnya orang Melayu dan perkara ini tidak sukar untuk dilaksanakan kerana orang Melayu memang terkenal dan sedia ada dengan budi bahasa dan sopan santun yang tinggi. Kita sebolehnya hendak mengelakkan agar keuntungan yang diperolehi ini hanya berputar dikalangan golongan yang kaya sahaja tetapi hendaklah dikongsi bersama dengan golongan yang sederhana dan rendah. Senario ekonomi di Malaysia sekarang rata-ratanya dimonopoli oleh golongan bukan Melayu termasuk korporat besar dan gergasi Multinational Corporation (MNC) milik Barat.

Seterusnya, status halal menjadi senjata tajam kepada usahawan Islam. Misalnya sistem perbankan Islam pada dewasa ini dilihat yelah jauh ketinggalan dibelakang kerana banyak institusi perbankan yang lain telah menawarkan produk Islam dan label halal. Halal mempunyai kekuatan tetapi ada juga kelemahan yang perlu diatasi agar penggunaannya tidak disalah gunakan. Antara kelemahan yang paling ketara yang perlu diambil perhatian serius ialah apabila semua pihak termasuk oarng Barat boleh memenuhi kriteria halal. Dalam hal ini, Bank Islam telah kalah dan umat Islam harus sedar bahawa meraka tidak boleh mengharapkan status halal untuk menang tetapi memenuhi asas-asas perniagaan seperti memberikan perkhidmatan yang baik dan efisyen.

Matlamat untuk mencapai 65 peratus ini wajib dikejar dan diburu oleh orang Melayu tetapi janganlah hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata dan juga janganlah mengharapkan golongan bukan Melayu menyerahkan bahagian mereka kepada kita. Segalanya haruslah dibina di atas daya usaha sendiri iaitu bersaing dan berlumba membina organisasi sendiri. Ini kerana perjuangan untuk menuju pencapaian 65 peratus ini tidak perlukan syarat meletakkan had masa. Perjuangan mencapai sasaran ini juga adalah matlamat yang harus dipegang sampai bila-bila. Sekiranya usaha yang dilakukan ini hanya dilaksanakan seolah-olah hangat-hangat tahi ayam sahaja, maka sasaran untuk mencapai sasaran 65 peratus ini tidak akan diperolehi oleh golongan bumiputera. Jangankan 65 peratus yang disasarkan, pencapaian pemilikan ekuiti 35 peratus pun belum tentu dapat dicapai seandainya golongan bumiputera masih berpeluk tubuh mengharapkan keajaiban berlakunya hujan emas. Justeru, golongan bumiputera haruslah bangkit dari kegagalan yang telah mereka alami ini seterusnya menjana kembali ekonomi masyarakat bumiputera.

Oleh itu, formula mencapai 65 peratus wajib dijayakan oleh bangsa Melayu dan umat Islam. Mereka mesti menambah nilai dalam bisnes mereka dan membina organisasi korporat GLC sehingga berupaya menghimpun aset dan harta kekayaan bernilai tinggi turun temurun dan berkesinambungan dari generasi ke generasi. Kerana pada akhirnya, setelah berjaya menambah nilai dan menghimpun asetdan harta kekayaan mengikut kaedah persaingan di pasaran, tidak ada sesiapa pun yang boleh mempertikaikan atau menyekat tindakan yang jelas mempersiapkan keadilan dan kesaksamaan ini.

Kesimpulannya, bersamalah kita berjuang dalam mencari dan menjayakan formula 65 peratus pegangan ekuiti untuk orang Melayu. Tidak ada sesiapa pun yang harus mempertikaikan kesucian perjuangan ini kerana dengan Melayu menambah nilai ekonomi, ertinya saiz ekonomi akan berkembang pesat, peluang pekerjaan akan bertambah dan seluruh negara dan semuanya rakyatnya akan mendapat manfaatnya. Walaupun secara pandangan mata kasarnya DEB ini gagal membela nasib golongan bumiputera, namun kita haruslah bangkit untuk menebus kembali kekalahan yang dialami ini dan terus berjuang agar hak kita dikembalikan semula yang hilang akibat dasar yang dicipta oleh penjajah yang pada akhirnya menguntungkan golongan bukan bumiputera, Akibatnya, kita diibaratkan mengemis di tempat sendiri yang mengharapkan golongan bukan bumiputera berkongsi hasil kekayaan yang mereka kecapi.

0 comments:

Post a Comment