Peranan Institusi Keluarga

1.0 PENGENALAN

Apabila isu pembentukan masyarakat Islam dibincangkan, peranan individu Muslim tidak dapat dipinggirkan. Hal ini kerana pembentukan sesuatu masyarakat adalah berasaskan institusi keluarga. Manakala institusi keluarga pula bermula dengan perkahwinan di antara dua individu yang berlainan jantina. Kualiti ilmu yang dimiliki oleh individu yang membentuk keluarga dan seterusnya masyarakat adalah faktor penentu kepada kualiti sesebuah masyarakat. Perhatian yang khusus telah diberikan oleh Islam terhadap pembentukan keluarga bagi mengekalkan generasi manusia. Hal ini kerana, pengabaian pembentukan institusi keluarga akan membawa keruntuhan dan kehancuran sesebuah masyarakat.

Justeru, Allah SWT telah menurunkan undang-undang keluarga Islam sebagai panduan kepada seluruh institusi keluarga. Ia diklasifikasikan oleh fukaha di dalam kitab-kitab fikah sebagai Munakahat yang bermaksud nikah-kahwin. Institusi keluarga dapat memelihara akhlak, tata susila dan kemuliaan manusia melalui ikatan perkahwinan. Di samping itu, ia mempunyai peranan yang amat penting dalam pembentukan individu kerana peribadi yang baik akan membentuk keluarga yang baik, daripada keluarga yang baik akan melahirkan masyarakat yang baik dan seterusnya tertegak sebuah negara yang cemerlang di bawah keredhaan Allah SWT. Segala ilmu ini perlu dipelajari oleh setiap individu Muslim sebelum mendirikan sebuah rumah tangga. Ini amat penting sebagai satu permulaan untuk melahirkan insan yang kamil dalam sesebuah masyarakat itu sendiri.





2.0 KONSEP KEKELUARGAAN MELAYU-ISLAM

2.1 Perkahwinan

Perkahwinan merupakan ikatan antara dua individu; lelaki dengan perempuan melalui akad nikad dan ijab kabul. Semasa proses pencarian jodoh, kebiasaannya seseorang akan memilih pasangannya berdasarkan empat ciri iaitu berharta, berketurunan baik, cantik dan beriman. Namun, Rasulullah SAW menyarankan agar umatnya memberikan keutamaan kepada faktor yang keempat, iaitu beriman. Dalam konteks ini, keutamaan diberikan kepada calon yang beriman kerana menurut baginda hanya keimanan dapat menjamin keharmonian institusi keluarga dalam mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Undang-undang keluarga Islam juga turut memberikan garis panduan tentang pasangan yang boleh dikahwini dan golongan yang haram dikahwini. Golongan yang haram dikahwini hukumnya terbahagi kepada dua, iaitu haram abadi dan haram sementara. Haram abadi ada tiga kategori iaitu:
• Mereka yang ada pertalian darah seperti ayah, ibu dan anak.
• Pertalian kekeluargaan seperti anak tiri, mertua dan menantu.
• Pertalian penyusuan seperti ibu susu dan saudara sesusu.

Manakala hukum haram sementara pula ialah ipar, iaitu apabila pasangan meninggal, maka perkahwinan antara suami dan ipar atau isteri dengan ipar dibolehkan; perempuan bukan Islam apabila dia memeluk Islam perkahwinan dibolehkan; dan perempuan dalam iddah apabila tamat tempohnya, maka dibolehkan berkahwin.
Terdapat beberapa kategori dalam hukum berkahwin. Fukaha menetapkan hukum berkahwin ini bedasarkan kepada keadaan individu. Menurut Mazhab Syafii, hukum nikah terbahagi kepada lima iaitu:
• Pertama, harus: bagi seseorang yang ingin melakukan seks.
• Kedua, sunat berkahwin: sekiranya dia ingin menjaga kesuciannya, cukup syarat dan berkemampuan dari segi zahir dan batin.
• Ketiga, wajib: bagi yang berkemampuan dari segi zahir dan batin, serta nafsu syahwatnya begitu tinggi hingga boleh mendorong kepada penzinaan. Bagi yang tidak berkemapuan dari segi perbelanjaan perkahwinan, Islam menyarankan agar dia berpuasa.
• Keempat, haram berkahwin: orang yang tidak mencukupi syarat. Tidak berkemampuan zahir dan batin serta tidak bertanggungjawab kerana dibimbangi akan merosakkan rumah tangga serta masa depan isteri dan anak-anak.
• Kelima, makruh: orang yang tidak berhajat kepada seks, ahli ibadat, orang yang benci kepada perkahwinan dan seumpamanya.

Perkahwinan bertujuan untuk memperoleh zuriat dan mengekalkan baka, memelihara kehormatan diri, mencapai ketengan hati, ketengan jiwa dan sebagai cara untuk menyalurkan naluri cinta dan kasih sayang. Ia merupakan jalan penyelesaian kepada naluri tabii atau fitrah semula jadi manusia, iaitu hubungan seks antara lelaki dan wanita yang dijadikan oleh Allah SWT.

2.2 Keluarga

Prinsip yang meletakkan keluarga sebagai asas pembentukan masyarakat begitu dihayati oleh tamadun-tamadun tradisional. Keluarga yang dimaksudkan pada lazimnya adalah keluarga extended. Dalam sesebuah keluarga wujud hierarki kuasa yang menentukan kedudukan kaum lelaki dan kaum perempuan. Pengalaman seperti ini telah menjadi warisan turun temurun dalam sesebuah keluarga tradisional. Menurut Konfusianisme, kesetiaan dan pertalian yang erat merupakan konsep kekeluargaan yang paling penting. Pengabaian terhadap konsep kekeluargaan seperti ini merupakan penafian hak seseorang dan bertentangan dengan keadilan. Konsep kekeluargaan Islam pula begitu mementingkan kasih sayang dan hormat-menghormati. Berdasarkan hakikat tersebut, bukanlah persoalan kedudukan wanita kaum wanita dan kaum lelaki dalam sesebuah keluarga itu menjadi persoalan utama, tetapi setiap mereka harus menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam lingkungan kasih sayang dan saling hormat-menghormati.

3.0 HAK DAN TANGGUNGJAWAB DALAM INSTITUSI KELUARGA

3.1 Hak Dan Tanggungjawab Suami Isteri

Dalam institusi keluarga Islam, suami dan isteri memiliki hak ke atas satu sama lain lantaran tanggungjawab yang dipikul sama ada bagi pihak suami, isteri atau tanggungjawab bersama: suami dan isteri. Dalam konteks ini, isteri memiliki hak untuk memperolehi nafkah zahir dan batin daripada suami, memperoleh pakaian dan tempat tinggal yang sesuai daripada suami, memperolehi jaminan keselamatan dan kebajikan daripada suami, dan memperolehi nasihat yang baik daripada suami.

Suami pula bertanggungjawab melindungi rahsia kecacatan atau kekurangan isteri setelah tanggungjawab sebagai seorang isteri dilaksanakan dengan baik seperti melayani keperluan batin suami, mentaati suami, ketaatan dan kesetiaan isteri kepada suami selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Isteri bertanggungjawab merahsiakan kecacatan atau kekurangan suami kepada orang lain dan menjaga kehormatan dan harta suami ketika ketiadaannya.

Seorang suami bertanggungjawab sebagai pemimpin dan ketua dalam institusi keluarga. Apabila dia melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami, dia berhak menerima layanan yang munasabah dan kasih sayang, termasuk zahir dan batin daripada isteri; isteri menjaga maruah dan akhlak sama ada berada di hadapan ataupun di belakang suami; dan meminta keizinan suami sebelum keluar rumah.

Hak dan tanggungjawab bersama suami isteri ialah suami dan isteri sama-sama berhak untuk menikmati kemanisan, kenikmatan da kebahagiaan hidup berumah tangga; suami dan isteri bersama-sama bertanggungjawab mengeratkan hubungan silaturrahim dengan keluarga kedua-dua belah pihak; harta kedua-duanya boleh diwarisi oleh salah seorang daripada keduanya apabial berlaku kematian; mendalami ilmu fardu ain bersama; berbincang tentang kebaikan bersama; bantu membantu dalam hal kebajikan dan meninggalkan kemungkaran; bersikap jujur dan menepati janji; saling memaafkan jika berlaku kesilapan dan saling menasihati; digalakkan bersembahyang berjemaah; dan bertawakal kepada Allah SWT setelah berusaha untuk mencapai kebahagian hidup.

4.0 PERANAN KELUARGA DALAM PEMBENTUKAN INSTITUSI KELUARGA

4.1 Prinsip Pembentukan Keluarga Islam

Sebagai Nizamul Hayah yang syamil dan sempuma, yang merangkumi pembentukan masyarakat yang sejahtera, Islam telah menetapkan peraturan peraturan perkahwinan dan perjalanan keluarga dengan sempuma. Peraturan ini tidak hanya berbentuk undang-undang tetapi juga menerusi pembentukan rasa tanggung-jawab dan menghormati nilai-nilai akhlak yang dibina menerusi kesedaran beragama yang dipupuk menerusi pendidikan. Kesempurnaan undang-undang yang mengawal perjalanan keluarga tidak mencukupi bagi menjamin ketenteraman keluarga itu.

Keluarga mesti disusun dan dikawal oleh rasa tanggungjawab dan menghormati nilai-nilai akhlak Islamiah. Rasa tanggungjawab dan menghormati nilai-nilai akhlak itu hanya akan berkembang subur di kalangan orang-orang yang mempunyai kesedaran keagamaan. Kesedaran keagamaan yang terpenting ialah apabila seseorang itu sentiasa mengingati Allah S.WT. dan takut kepada-Nya. Kesedaran ini merupakan kawalan berkesan untuk seseorang mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Tanpa kesedaran ini peraturan yang sempurna tidak memberi banyak kesan, kerana orang yang tidak dapat mengawal dirinya dengan kesedarannya terhadap wujudnya Allah SWT dan takut kepada-Nya, akan dengan mudah melanggar undang-undang dan peraturan itu. Apabila undang-undang tidak dihormati, ia tidak bermakna lagi walau bagaimana pun sempurna undang-undang itu.

Dalam menyusun keluarga yang tenteram dan sejahtera, Islam berpandukan kepada dua prinsip. Prinsip yang pertama ialah didikan yang mengukuhkan kesedaran beragama dan prinsip yang kedua pula ialah undang-undang serta peraturan yang menentukan kewajipan, hubungan antara suami isteri, kewajipan terhadap anak-anak, nafkah, peraturan jika berlaku perselisihan dan perceraian.

Kepincangan dan kegelisahan yang banyak berlaku di dalam keluarga Islam hari ini adalah kerana pembentukannya yang tidak sangat memenuhi kehendak Islam. Selain daripada kurangnya asas-asas keagamaan, pasangan suami isteri pula jahil tentang hukum-hukum yang berkaitan dengan hubungan antara mereka, dan tanggungjawab keduanya terhadap anak-anak.

4.2 Kewajipan dan Tanggungjawab

Seseorang yang hendak mendirikan rumahtangga hendaklah menginsafi bahawa kewajipan dan tanggungjawab sedang menantinya. Membina keluarga bermakna bertambahnya tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak. Di sini digariskan beberapa tanggungjawab penting suami dan isteri di dalam rumahtangga. Suami akan menjadi seorang bapa dan isteri akan memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu. Tanggungjawab yang dipikul oleh ibu dan bapa inilah asas kepada pembentukan akhlak dan tingkah laku anak-anak dalam membentuknya menjadi insan yang kamil.

4.2.1 Kewajipan dan Tanggungjawab Suami

Seseorang yang sudah bergelar suami dan bapa perlulah tahu setiap tanggungjawab yang perlu dipikulnya. Ini adalah untuk memastikan peranan pembentukan sesebuah keluarga itu berada dalam keadaan yang harmoni. Kewajipan dan tanggungjawab yang paling utama sekali bagi seorang yang bergelar bapa ialah sebagai ketua keluarga. Sebagai ketua keluarga, ia bertanggungjawab sepenuhnya menjadi pelindung kepada isterinya serta anak-anaknya. Sebagai pelindung kepada keluarga dan unit masyarakat yang kecil ini, suami berkewajipan untuk mengawal, membimbing, menentukan tugas, berusaha mencari keperluan hidup keluarga dan berusaha menyediakan faktor-faktor kebahagiaan dan keselamatan keluarganya.

Disamping itu, suami wajib menyediakan rumah kediaman, pakaian dan makan minum keluarga. Dia wajib mengajar anak isterinya dengan hukum-hukum agama seperti fardu ain. Dalam hal ini suami yang bijak awal-awal lagi akan memilih isteri yang beragama. Dengan itu dia dapat meringankan beban dan kewajipannya mengajar agama kepada isterinya. Isteri yang mempunyai didikan agama itu pasti dapat bekerjasama mendidik anak-anak dalam kehidupan beragama. Didikan agama yang sempurna diterima oleh anak-anak daripada akar umbi akan membentuk satu benteng dalam dirinya agar sentiasa taat dan patuh pada suruhan dan larangan Allah SWT.

Oleh hal yang sedemikian, pentadbiran suami di dalam rumah tangga hendaklah berdasarkan kepada rahmah , berakhlak dan contoh yang baik.sebagai seorang suami, ia bertanggungjawab memikul segala amanah yang telah diberikan oleh Allah SWT dalam membentuk keluarganya terutamanya dalam membentuk keperibadian anak-anaknya. Didikan agama yang sempurna untuk anak-anak oleh seorang bapa yang beriman adalah kunci kepada lahirnya insan yang kamil. Bersikap baik dan adil di dalam mengendalikan rumah tangga adalah amat penting. Rasulullah SAW menyifatkan orang yang baik ialah orang yang baik kepada ahli rumahnya iaitu ahli keluarganya.

Suami hendaklah mengasuh isteri dengan baik berdasarkan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam. Rasulullah SAW menyifatkan kaum wanita sebagai amanah Allah SWT kerana wanita adalah kaum yang berhak dilindungi oleh lelaki. Amanah ini hendaklah dijaga dengan cermat dan melaksanakan segala perintah yang telah diwahyukan oleh Allah SWT. Misalnya, jika kita diamanahkan sesuatu barang dan barang itu rosak di tangan kita,tentulah ia akan melibatkan nama baik kita. Sebab itu Rasulullah SAW berpesan supaya bersikap baik terhadap wanita dan sentiasa memesan mereka supaya berkelakuan baik.

Tanggungjawab dalam mendidik anak-anak pula perlu ditekankan oleh suami. Hanya dengan didikan yang betul dapat membentuk keperibadian anak-anak. Rasulullah SAW ada menyebut setiap anak-anak yang lahir itu diibaratkan seperti kain putih yang bersih dan kedua ibu bapanya berperanan untuk mencoraknya sama ada menjadi Nasrani, Yahudi dan Majusi . Pembentukan anak-anak ini hendaklah dimulakan sejak dari kecil lagi. Ini kerana pada masa kecil minda anak-anak akan menerima segala tunjuk ajar yang diberikan oleh bapanya. Ajaran agama adalah aspek yang paling penting perlu diterapkan dalam jiwa anak-anak khususnya aspek solat. Ini kerana solat adalah benteng utama yang memisahkan antara baik dan keji sesuatu perbuatan. Rasulullah SAW pernah bersabda agar menyuruh anak itu mengerjakan solat seawal umur lima tahun dan sekiranya pada umur tujuh tahun si anak enggan maka hendaklah dirotan untuk memberi peringatan kepada mereka.

Tanggungjawab suami adalah penting di dalam membina keluarga. Tidak sah pernikahan orang yang tidak boleh mengendalikan urusan rumahtangga seperti pernikahan kanak-kanak dan orang gila. Adapun orang yang safah yang ditahan dari mengurus harta benda dan dirinya, tidak sah berkahwin melainkan dengan izin walinya. Orang yang mempunyai keinginan berkahwin tetapi tidak sanggup menyediakan mahar dan nafkah tidak digalakkan berkahwin. Manakala menurut kata AI-Syafiyyah, sunat tidak berkahwin bahkan hendaklah berpuasa kerana puasa itu penahan segala keinginan.

4.2.2 Kewajipan dan Tanggungjawab Isteri

Wanita pertama yang diciptakan oleh Allah SWT ialah Hawa yang dijadikan daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam. Hawa dijadikan oleh Allah SWT sebagai teman hidup Nabi Adam. Justeru, Allah SWT telah menjadikan sifat naluri makhluk-Nya hidup berpasangan. Lelaki dengan perempuan dan jantan dengan betina. Begitu juga dengan kehidupan dalam keluarga. Sesebuah keluarga itu tidak akan sempurna tanpa kehadiran wanita yang melahirkan cahaya mata.

Apabila suami sebagai ketua keluarga, maka isteri pula sebagai timbalannya yang mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu. Isteri berperanan membantu suami dalam menguruskan rumah tangga disamping mendidik anak-anak. Anak-anak yang mendapat sepenuhnya kasih sayang daripada seorang ibunya akan menjadi seorang insan yang taat pada agama. Tetapi dengan syarat ibunya tidak mengabaikan tanggungjawab yang telah diberi oleh Allah SWT. Maka, anak-anak akan menjadikan ibunya sebagai contoh dalam pembinaan karektor diri. Ini kerana ibu mereka adalah sekolah pertama meraka

Sebagai seorang isteri, ia haruslah taat kepada suaminya selagi apa yang dilakukan oleh suaminya itu tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Antara kewajipan yang diwajibkan ke atas seorang isteri ialah menggauli suaminya dengan baik. Memang tujuan perkahwinan itu adalah menghalalkan yang haram dan disamping itu adalah menambahkan umat Muhammad di muka bumi ini. Justeru, selagi tidak bercanggah dengan ajaran agama, adalah wajib bagi isteri menunaikan keinginan batin suaminya.

Kedudukan tinggi yang telah Islam berikan kepada golongan wanita tidak akan bererti apa-apa sekiranya kewajipan-kewajipan yang tertentu terhadap rumah tangga dan anggota masyarakat tidak ditunaikan. Kedudukan dan kemuliaan wanita inilah menjadi faktor asas dalam melahirkan keluarga yang bahagia. Keluarga bahagia ialah keluarga yang ahlinya sihat, hidup dalam suasana gembira, bersikap saling hormat menghormati serta terpelihara dari segala perkara negatif dalam aspek kehidupan. Pembentukan keluarga yang bahagia sebenarnya memerlukan penyertaan dan kerjasama semua ahli rumah. Bagaimanapun peranan wanita yang bertindak sebagai isteri dan ibu adalah paling penting. Tanpa mereka, perkembangan insan akan terhenti, keindahan hidup tidak akan dirasai, segala-galanya akan menjadi pincang.

Wanita hari ini sentiasa diberi peluang yang sama dengan golongan lelaki terutama dalam bidang pendidikan. Wanita hari ini semakin cerdas dan pintar. Apabila mereka semakin pandai, maka cita-cita mereka semakin tinggi dan pastinya banyak cabaran yang terpaksa dihadapi. Semuanya itu hanya dapat dicukupi oleh suami yang mampu, cerdas dan bercita-cita tinggi. Hasilnya pemeliharaan dan pendidikan anak-anak akan lehih sempurna. Oleh yang demikian, dalam dunia hari ini, bagi lelaki yang belum sanggup memelihara isteri tidak sepatutnya berkahwin. Apa yang dimaksudkan dengan memelihara di sini ialah bukan sekadar memelihara jasmani, tetapi memelihara hati dan jiwa wanita tersebut. Ini kerana hanya wanita yang terpelihara zahir dan batinnya sahaja yang dapat mendidik anak-anaknya dengan baik dan sempurna.
Bagi setiap ibu, memelihara dan mendidik anak dengan sebaik-baiknya adalah kebaktian yang besar terhadap agama, nusa dan bangsa. Sebaliknya mensia-siakan pendidikan dan pemeliharaan anak, bererti mereka telah merosakkan negara. Ini kerana kerosakan batin manusia itulah yang menjadi pokok pangkal kerosakan negara. Pengaruh ibu dalam mendidik anak-anak lebih besar berbanding dengan peranan guru di sekolah. Sebagai contoh kita lihat kejayaan Thomas Edison. Pada suatu hari, Edison disuruh pulang dengan sehelai kertas yang tercatat “too stupid to be taught”. Bagaimana perasaan
seorang ibu apabila melihat anaknya dilabelkan sedemikian rupa oleh gurunya. Cinta dan
kasih seorang ibu kepada anak semakin mendalam dan dengan hati yang suci murni, ibu berusaha mengajar anaknya itu. Akhirnya Thomas Edison telah mencipta nama sebagai seorang pencipta mentol. Napolean Bonaparte pernah menyebut bahawa pendidikan ibu yang bijaksana merupakan jambatan emas yang akan dilalui oleh anak dalam menuju pantai bahagia.

Dengan menyedari hal ini, kaum wanita seharusnya tidak akan mensia-siakan kedudukan tinggi yang telah dianugerahkan Allah terhadapnya. Wanita yang memiliki budi pekerti yang luhur dan berilmu mampu melaksanakan tugasnya sebagai khalifah di muka bumi, pembina peribadi mulia dan agen ketenangan dan kebahagiaan. Mereka jangan terlalu ghairah terhadap kerjaya atau pekerjaan sehingga mengabaikan kebajikan sosial keluarga kerana itu bercanggah dengan ajaran Islam. Dalam ajaran Islam, semua kerja yang dilakukan demi keperluan umat termasuk di dalam makna perjuangan fisabilillah. Namun apa yang menimbulkan masalah ialah sikap sesetengah wanita yang bekerja untuk bebas lepas daripada nilai-nilai rohani, atau bersikap ingin maju setanding dengan lelaki dalam segenap segi.

Dalam hal ini, isteri tidak boleh lupa terhadap kewajipan terhadap suaminya. Apabila setiap pihak menunaikan tanggungjawab, makan akan berkembanglah mawaddah . Batas-batas dan tanggungjawab suami isteri ini ditetapkan oleh Islam sebagai peraturan yang bertujuan mengukuhkan kehidupan dan hidup di dalam suasana ibadah kepada Allah SWT. Rumah tangga akan hancur jika sekiranya setiap pihak mengabaikan tanggungjawabnya. Dengan mengamalkan prinsip agama yang betul akan wujudlah keluarga bahagia yang merupakan tahap pembentukan masyarakat Islam.

4.2.3 Tanggungjawab dan Kewajipan Anak

Sebagai seorang anak, banyak tanggungjawab dan kewajipan yang perlu ditunaikan kepada kedua ibu bapanya. Namun apa yang paling penting sekali bagi seorang anak ialah restu daripada mereka. Tanpa restu daripada kedua oranng tuanya, maka hidup seseorang itu boleh diibaratkan seperti gantung tidak bertali. Maknanya di sini tiada keredhaan daripada Allah SWT. Tanggungjawab yang paling penting sekali yang perlu dilakukan oleh seorang anak ialah menghormati orang tuanya lebih-lebih lagi ibunya kerana daripada selama sembilan bulan sepuluh hari ibunya bersusah payah menahan sakit dan derita mengandungkannya.

Dalam konteks ini, seseorang yang bergelar anak harus tahu bahawa kedua orang tuanya bersusah payah mendidiknya dengan penuh kasih sayang agar menjadi seorang insan yang berguna. Justeru, setiap daripada kita harus sedar bahawa tanggungjawab yang diberikan kepada kita adalah besar. Rasulullah SAW pernah bersabda apabila mati seseorang itu maka terputuslah segala kinikmatan di dunia ini melainkan tiga perkara iaitu amal jariah yang dibuat semasa dia hidup, ilmu yang digunakan untuk manfaat kepada orang lain dan doa anak-anak yang soleh. Maka, sebagai membalas jasa yang dibuat oleh ibu bapa, doa anak yang soleh itu adalah bekalan yang paling penting sekali untuk ibu bapanya di alam akhirat. Sesungguhnya doa itu adalah senjata yang paling tajam sekali bagi umat Islam dalam membentuk keperibadian diri.

Setiap daripada kita semua perlu tahu dan wajib menghormati ibu dan bapa. Bukan sahaja agama Islam mewijibkan sebegitu, malahan setiap agama di dunia ini berkehendakan sebegitu. Belum pernah lagi tertulis dalam sejarah peradaban dunia bahawa kita tidak perlu menghormati ibu dan bapa kita sendiri. Antara yang dituntut oleh agama Islam itu sendiri ialah jangan meninggikan suara semasa bercakap dengan ibu bapa, jangan melawan kata-kata mereka, jangan menipu mereka, jujur pada mereka dan banyak lagi. Masyarakat Melayu juga mempunyai adat-adat yang berlandaskan agama Islam sendiri sebagai panduan dalam kehidupan sebagai seorang anak. Sebagai contohnya, adab berjalan di hadapan kedua orang tua, mencium tangan mereka semasa bersalaman, adab duduk dihadapan mereka dan lain-lain. Ini semua adalah kunci pembentukan insan yang kamil dalam naluri.

Allah telah menciptakan umat manusia dengan dua unsur yang memiliki dua kecenderungan berbeza iaitu kecenderungan untuk melakukan kejahatan dan kecenderungan melakukan kebaikan . Di samping itu, Allah juga telah menyediakan akal sebagai penilai yang menilai kehendak dan keperluan berdasarkan kepada ajaran agama bagi meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Berdasarkan kepada unsur penciptaan manusia inilah, manusia sentiasa berada dalam konflik kejiwaan dalam pelbagai bentuk kecelaruan mental, emosi, tingkah laku, personaliti dan akhirnya dinyatakan dalam berbagai gejala sosial yang menakutkan kecuali kepada mereka yang memiliki jiwa yang sihat dan mampu memberikan ketenangan kepada individu di sekelilingnya. Firman Allah SWT yang bermaksud “Dan aku tidak membebaskan diriku dari kesalahan kerana jiwa itu cenderung kepada kejahatan kecuali bila Tuhanku memberi rahmat. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” .

Ayat tersebut menjelaskan kepada kita tentang kewujudan konflik dalam diri manusia, satu pertembungan antara tuntutan dan kehendak mereka dengan nilai-nilai dari ajaran agama dan norma-norma sosial. Ini berdasarkan kepada hakikat penciptaan mereka dan kehidupan mereka di alam maya ini yang bersifat sementara dan penuh dengan cubaan dan dugaan. Justeru, anak-anak seharusnya memahami hakikat ini agar strategi dapat diatur bagi memastikan bahawa mereka memiliki kesihatan jasmani. Malahan yang lebih penting iaitu mereka mempunyai kesihatan jiwa yang akan dizahirkan dalam perbuatan yang mencakupi perkataan dan pemikiran. Pendekatan inilah yang perlu diaplikasikan dalam kehidupan mereka dalam menjalankan tanggungjawab terhadap kedua ibu bapa mereka sendiri.

Masyarakat Melayu di Malaysia memang kaya dengan adab kesopanan masyarakat Timur. Bukanlah budaya yang dibawa oleh Barat itu tidak bagus namun unsur-unsur negatif itu lebih banyak lagi daripada unsur negatif. Anak-anak tidak harus melupakan segala jasa dan pengorbanan ibu bapa dalam membentuk diri mereka menjadi seorang insan yang sempurna. Dalam hal ini, ilmu agama tidak harus ditolak tepi dalam memajukan diri. Sebagai contoh, kita lihat kejayaan masyarakat Barat. Mereka menolak sama sekali agama dan menganggapnya sebagai penghalang kemajuan intelektual manusia. Mereka menolak aspek spiritual atas nama sains. Mereka berpendapat bahawa aspek spiritual tidak dapat dikaji dan dinilai secara saintifik dan pengamatan yang objektif tidak dapat dilakukan bagi mengesahkan kewujudannya. Mereka hanya memberi tumpuan terhadap aspek seperti biologi, demografi, sosial, persekitaran dan budaya apabila membicarakan tentang tingkah laku anak-anak. Mereka mengabaikan langsung aspek kerohanian dan sosial yang sebenarnya memainkan peranan penting dalam pembentukan jiwa manusia. Faktor jiwa inilah yang memberi kesan terhadap akhlak atau tingkah laku seseorang individu. Perlu diingatkan bahawa akhlak merupakan pokok kesucian batin yang dapat menghasilkan budi pekerti yang halus, sopan santun, sifat setia, pengasih dan penyayang, pemurah dan suka melakukan berbagai jenis pekerjaan yang mulia. Inilah yang harus diterapkan dalam diri setiap insan dalam memajukan diri tanpa menolak aspek didikan agama yang diberikan oleh ibu bapa.

Dalam hal ini juga, tanggungjawab anak-anak kepada negara juga harus ditekankan. Ini kerana mereka ini adalah pelapis kepada pemimpin yang sedia ada. Kelak, mereka inilah yang akan mentadbir negara mengikut acuan yang sedia ada. Mereka inilah yang akan melaksanakan segala dasar-dasar kerajaan yang telah dibuat. Oleh hal yang sedemikian, amatlah penting bagi kita semua untuk menabur bakti kepada tanah tumpah darah kita sendiri disamping berbakti kepada kedua orang tua kita sendiri. Justeru, sebelum kita berbakti kepada negara, semestinya kita berbakti dahulu kepada kedua orang tua kita. Janganlah diibaratkan seperti kacang lupakan kulit. Semasa susah mereka inilah yang kita tatang namun apabila kesenangan di hadapan mata, mereka ini kita buang jauh dari diri kita tanpa kita sedar pengorbanan mereka inilah yang menjadikan diri kita maju. Untuk menjadi seorang insan yang kamil, nilai-nilai aspek ini perlu ditanamkan subur di dalam jiwa nurani kita sampai bila-bila.


5.0 Penutup

Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa yang maju adalah bangsa yang berilmu. Kemajuan tidak mungkin akan dicapai tanpa pencapaian ilmu yang tinggi. Untuk tujuan ini ibu bapa perlu memastikan bahawa perasaan cinta terhadap ilmu ini perlu dipupuk seawal mungkin. Bermula dari rumah tangga, ibu bapa perlu menyediakan suasana yang kondusif yang boleh menggalakkan minat anak-anak kepada pertumbuhan ilmu. Dalam hal ini ilmu tanpa nilai moral boleh menyebabkan manusia akan hilang pertimbangan kemanusiaan. Generasi hari ini perlu diberi pendedahan tentang kepentingan sejarah terhadap masa depan mereka. Apa yang dimaksudkan dengan sejarah di sini bukanlah sekadar mengingati tarikh bila sesuatu peristiwa itu berlaku tetapi yang penting ialah mempelajari kesilapan yang telah dilakukan agar kesilapan itu tidak diulangi. Sejarah juga telah membuktikan bahawa walau semaju mana sesebuah tamadun itu, kegagalan untuk belajar dari sejarah boleh meruntuhkan ketamadunan yang telah dicapai. Justeru institusi keluarga hari ini yang mewariskan generasi muda perlu sentiasa diberi peringatan agar mereka tidak leka dengan kesenangan yang telah dicapai. Sebaliknya mereka hendaklah sentiasa meningkatkan keupayaan diri sebagai persediaan menghadapi cabaran hidup yang bakal ditempuhi. Sesungguhnya penggunaan undang-undang semata-mata tidak mampu membendung gejala negatif. Hal ini disebabkan secara lumrah manusia yang melanggar undang-undang beranggapan mereka boleh mengelakkan dari ditangkap oleh pihak berkuasa.

Sebagai asasnya, ibu bapa sebagai pendidik perlulah menggembleng sepenuh tenaganya dan cuba sentiasa memfokuskan perhatian terhadap melaksanakan segala perintah yang diturunkan Allah SWT. Keyakinan beragama perlulah dipupuk sehingga menjadi darah daging dalam kehidupan. Sudah pasti anak akan membesar di atas dasar iman dan taqwa dan akan bertapak padanya akhlak dan budi pekerti yang mulia. Perlulah diingatkan bahawa sebagai ibu atau bapa kita terlebih dahulu perlu memiliki akhlak yang mulia. Dengan akhlak yang dapat dicontohi, ibu bapa menjadi teladan kepada anak-anak. Namun sekiranya ibu bapa sendiri yang ketandusan akhlak mulia seperti pengasih, penyayang, bersopan santun, berbudi pekerti mulia bagaimana untuk mereka ‘mengeksport’ kemuliaan itu kepada orang lain khususnya kepada anak-anak.

Tamadun yang telah dibina oleh manusia sepatutnya mengambil kira fitrah yang Allah anugerahkan ke dalam diri setiap manusia.. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang kami turunkan dari langit, lalu tumbuhlah tanam-tanaman dengan subur di bumi yang dimakan oleh manusia dan binatang, dengan sebab air itu; hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias dengan bunga-bungaan yang berwarna warni dan penduduknya menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman dan menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari, lalu Kami jadikan dia hancur lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelumnya itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir.”

Ibu dan bapa sebagai pengemudi bahtera rumah tangga haruslah sentiasa mengekalkan kemesraan tali percintaan mereka. Cinta yang dipupuk ini bukanlah cinta berdasarkan hawa nafsu tetapi cinta murni dan sejati yang tidak akan dapat diputuskan oleh pedang yang tajam dan tidak terlerai oleh gunung yang tinggi dan jurang yang dalam. Mereka perlu sentiasa ingat bahawa tugas mendidik anak-anak adalah perkara yang amat sukar. Namun semuanya akan berjaya dilaksanakan dengan kekuatan cinta dan tidak menyimpang dari garis kebenaran yang telah ditetapkan oleh Islam. Perlu diingatkan bahawa watak dan peribadi anak-anak di masa hadapan banyak bergantung kepada darah keturunan dan pendidikan yang diterimanya hari ini. Hasilnya, jika baik didikan yang diberi maka baiklah hasilnya dan jika buruk didikan yang diberi maka rosaklah hasilnya di kemudian hari. Dalam Islam, nilai-nilai kerohanian ini akan memandu dan membimbing manusia dalam segala aktiviti dan tindakannya. Manusia tidak perlu mengikut hawa nafsu untuk menentukan arah tindakannya.

0 comments:

Post a Comment